Tuesday, June 23, 2009

Mereka Bakar Bayi


Pengalaman mengutip cebisan tubuh yang dibakar pengganas komunis di Bukit Kepong bersama Dato’ Onn Jaafar menyebabkan ada menitis air mata sehingga kini.


KETIKA kejadian awal pagi Isnin, 23 Februari 1950 itu, dia bernasib baik kerana gilirannya mengawal Rumah Pasung Bukit Kepong baru berakhir. Empat anggota baru Home Guard atau Pengawal Kampung mengambil tugas di keliling balai itu.

Antara mereka ialah anak saudaranya, Samad Yatim yang juga Auxillary Police atau Polis Bantuan. Dinihari itu mereka agak bingit mendengar bunyi mercun sempena Tahun Baru Cina yang disambut masyarakat Tionghua berdekatan balai itu.

Tanpa disedari, itulah hari terakhir mereka dapat menyaksikan suasana malam kerana tepat pukul 5 pagi, balai itu diserang hendap. Selepas subuh, dia tidak menyangka kawasan balai tersebut bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.


“Hingga kini, setiap kali melalui kawasan balai itu, saya pasti menangis macam peristiwa itu baru saja berlaku semalam,” kata Abdullah Malik, berusia 118 tahun, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Bendar tidak jauh dari Bukit Kepong, Muar, Johor.

Mengimbau insiden itu, dia ralat mengenangkan kegagalannya menyelamatkan nyawa mereka yang terkorban mempertahankan balai tersebut. Ini kerana balai itu sudah dikepung lebih 200 pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) daripada Kompeni Ke-4.

Malah, sebaik saja mengetahui serangan itu, dia bersama penduduk kampung di bawah Penghulu Ali Mustafa dan pasukan Polis Bantuan sudah bergerak ke balai berkenaan. Mereka lengkap bersenjata raifal tetapi turut diserang komunis.

“Kami berlindung di sebalik pokok getah kerana ditembak pihak komunis. Penghulu lalu mengarah kami bersabar dan ketika itu, ada yang menitis air mata mendengar tangisan ahli keluarga anggota polis meminta tolong,” cerita Abdullah.


Menjelang petang, sebaik pihak komunis berundur, mereka segera ke balai itu. Api masih marak dan cuma beberapa orang terselamat. Balai polis, berek kelamin dan balai penghulu musnah dengan bau mayat terbakar menyelubungi kawasan.

Serangan mengejut itu meragut nyawa Ketua Polis Balai, Sarjan Jamil Mohd. Shah bersama 13 anggota polis, empat orang Pengawal Kampung, tiga anggota Polis Bantuan dan empat ahli keluarga termasuk seorang bayi yang dibakar hidup-hidup.

Pengganas dipercayai menggunakan 25 tin minyak bagi memusnahkan seluruh kompleks balai itu dan membakar mayat anggota polis. Ini menyebabkan kerja pembersihan memakan masa lebih seminggu kerana bahang api masih lagi panas.

“Suasana bertambah sayu apabila Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Jaafar turut datang, beliau menangis melihat mayat rentung dibunuh komunis. Kami pun sedih apatah lagi menemui cebisan mayat dalam bara api di situ,” kata Abdullah.


Sementelahan, hubungan masyarakat di situ dengan pihak polis amat baik. Ramai anak anggota pasukan keselamatan itu dihantar mengaji al-Quran dengan ustaz di kampung tersebut selain bergotong-royong ketika majlis kenduri-kendara.

Menceritakan peristiwa sama ialah Hamidah Idris, 64, yang ketika itu berusia lima tahun. Dia dapat melihat sendiri penduduk mengutip beberapa anggota tubuh manusia untuk dikumpul sebelum dikebumi dalam satu liang lahad besar.

Biarpun masih kecil, insiden itu meninggalkan kesan mendalam kerana orang kampung waktu tersebut hidup ketakutan. Setiap malam, ada rumah penduduk diceroboh pengganas komunis yang menggeledah bagi mencari barang berharga.

“Saya selalu cerita perkara ini kepada lima orang anak bagaimana kesusahan waktu itu. Jika kenang kembali peristiwa tersebut, saya menangis dan tidak dapat membayangkan kesakitan dirasai mereka yang terkorban di balai itu,” katanya.


Berkongsi kisah sama ialah Md. Lazim Ujud, 71, yang pernah menjadi Pengawal Kampung pada usia 16 tahun, dua tahun selepas tragedi itu. Baginya, peristiwa berdarah tersebut membuka mata penduduk kampung mengenai kekejaman komunis.

Meskipun pasukan keselamatan ‘kalah’ dalam pertempuran itu, moral pengganas komunis mulai jatuh dan mereka tidak lagi mendapat sokongan penduduk. Ini dapat dilihat pada majlis tahlil diadakan bersempena dengan kejadian itu setiap tahun.

“Selain pihak polis, penduduk kampung beramai-ramai datang ke Masjid Bukit Kepong memperingati peristiwa itu termasuk menziarahi kubur tempat bersemadi anggota polis dan keluarga serta orang awam yang terkorban,” katanya.

Keadaan ujarnya, menjadi lebih hiba apabila mereka membersihkan dua petak kecil iaitu kubur jenazah bayi lelaki dan seorang budak perempuan yang dicampak hidup-hidup oleh pihak komunis ke dalam api yang marak semasa peristiwa tersebut.

Balai polis menghadap sungai

Hakikatnya, walaupun hampir enam dekad tragedi itu berlalu, bagi generasi lama di Bukit Kepong, kezaliman pengganas komunis masih dirasai.

Bukit Kepong kini merupakan sebuah pekan kecil yang dihuni sekitar 1,000 orang penduduk. Ia terletak 60 kilometer dari bandar Muar. Jika anda berhasrat melancong ke sini, hanya ada dua tempat menarik wajib dikunjungi – balai polis dan masjidnya.

Ini mungkin pelik dan lucu namun dua bangunan itu sebenarnya merakamkan sejarah tidak ternilai yang pasti diingati seumur hidup. Ada yang berkata, pekan itu mulai popular sewaktu filem Bukit Kepong ditayangkan sejak tahun 1981.

Pekan itu, yang mengambil masa 20 minit perjalanan dari simpang lebuh raya dekat Pagoh; suatu ketika cuma boleh dilalui dengan sampan. Ia terpencil dan tidak ramai tahu kewujudannya hingga sekitar 1970-an apabila jalan raya dibina.

Tetapi jangan terkejut, sebahagian besar daripada generasi yang lahir sebelum 1980 di pekan tersebut ialah pelakon tambahan dalam filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu. Lokasi penggambaran adalah di sekitar Lenga, lima kilometer dari situ.

Kini, tapak Balai Polis Bukit Kepong yang dibakar ratusan pengganas komunis pada tahun 1950 telah diganti dengan bangunan baru. Ia juga menjadi muzium mini polis bagi menceritakan semula kekejaman PKM sewaktu era darurat.

Bangunan dibina dengan batu selepas serangan itu pernah beberapa kali tenggelam kerana terletak di tebing Sungai Muar. Penduduk mendakwa, cuma bumbung kelihatan apabila sungai besar yang dirujuk mereka sebagai laut itu mulai banjir.

Uniknya, menurut cerita penduduk, balai baru itu aneh. Bahagian depan menghadap ke arah sungai; satu-satunya balai polis di Malaysia dalam posisi itu. Kononnya sewaktu dibina semula, ramai penduduk bersedih, lalu ia dibangun dalam arah lawan.

Di sebelah tapak balai ada sebuah jeti kecil yang suatu ketika ialah jeti polis marin. Di situlah tercatat sejarah Konstabel Marin Abu Bakar Daud terselamat kerana menyelam dengan bernafas melalui batang keladi apabila bot polis dibakar.

Beliau antara empat anggota polis selain sembilan ahli keluarga mereka yang terselamat dalam serangan itu. Jeti tersebut menjadi penghubung utama Bukit Kepong dengan Lenga sebelum jalan raya siap dibangunkan tiga dekad lalu.

Melawat Bukit Kepong tidak lengkap jika tidak singgah di masjid jamek pekan itu yang terletak 100 meter dari tapak balai polis. Di sebelahnya ialah tanah perkuburan Islam yang menempatkan pusara mereka yang terkorban dalam peristiwa itu.

Perhatian pelawat pasti tertumpu kepada dua kubur kecil yang menjadi saksi kekejaman pengganas komunis. Di situlah jenazah seorang bayi lelaki dan kanak-kanak kecil yang mati dibunuh dengan dicampak hidup-hidup ke dalam api yang sedang marak.

Sunday, June 21, 2009

Taboo lagi??

Sorry...

Saya pun tak sempurna....

Jangan rosakkan benda yang dah elok...

Biarlah rahsia.....

Sunday, May 31, 2009

Transformasi

Transformasi agar lebih bernilai dan serius...

Wednesday, May 27, 2009

Terima kasih dan tahniah!


Terima kasih kerana menjadi pemimpin kami…Walaupun ada di antara kami yang radikal, hot tempered,suka bergosip atau yang loqlaq. Kami amat berbangga kerana menjadi salah satu dari sistem ini. Maafkan kami jika ada tindakan kami yang di luar batasan atau luar pemikiran rasional.


Semuanya tidak lebih dari ingin membela keadilan dan menjaga kebajikan. Terima kasih kerana banyak bersabar dengan kami. Jika ada ‘cerita lampau’ yang kami ceritakan pada andanya,harap simpanlah rahsia-rahsia itu.
Tahniah kerana anda telah melangkah ke dunia baru. Moga semangat yang ada di dalam diri anda akan terus dibawa bersama.

Kami ucapkan selamat berjaya kepada anda di alam yang baru. Nanti dah berjauhan,jangan lupa kami di sini.
Api itu sedang terbakar dalam diri kita…dan kitalah perisai untuk mengekalkan baranya.

Di depan kita api,di belakang kita duri…kita tak tidak boleh mengundur lagi,lantas redahlah api itu kerana kejayaan milik kita ada di seberang sana…..terima kasih SAHABAT.

Tuesday, May 26, 2009

Siakap Makan Gelama

Kita ambil rahsia mereka untuk kita bekerjasama..

Untuk ekonomi...dan persahabatan...

Mereka beri apa yang mereka pegang di tanah Melayu ini...

Kita adalah abang seumur hidup mereka di sini...

Itu janji kita.....


p/s : Guna sabit untuk menebas, bukan untuk membajak.Guna tukul untuk mengetuk,bukan untuk bermain.

Isu Perak vs Komunis

Kacau!Cukup kacau.Pening,cukup pening. Berserabut kepala otak. Tamatnya (mungkin ada lagi drama) kisah perebutan kuasa politik di Perak bukan sahaja menjadi satu mimpi ngeri kepada rakyat Malaysia,tetapi menunjukkan neraka di Malaysia sudah semakin hampir.



Mengapa sampai neraka??Rakyat berpecah belah,rakan baik menjadi musuh, jiran menjadi benci antara satu sama lain semuanya kerana mereka menyokong pihak masing-masing. Apabila kuasa itu dilihat seperti satu elemen untuk survival, dan kebajikan rakyat itu dilihat seperti satu aksesori, maka kerakusan untuk memerintah menjadi taruhan!



Tidak memihak kepada kerajaan atau pun pembangkang, isu di Perak mengukur sejauh mana kita sayang kepada rakyat. Isu ini juga telah menyebabkan ada yang tidak berpuas hati dengan istana. Sama sahaja kedua-dua pihak! Apabila sultan tidak ikut cakap mereka,sultan dimarah.Apabila sultan bersetuju dengan mereka,maka sultan disanjung. (lihat juga kejadian di Terenggani dulu) . Sial! Yang berdarah pejuang juga sama-sama menjilat ahli politik masing-masing. Bertindak seperti orang gila lantas fahaman politik menjadi satu kayu ukur untuk bertindak mengikut nafsu.



TUTUP SEBENTAR CERITA DI PERAK!

Ada pihak yang memohon kepada kerajaan agar diampunkan Chin Peng (Parti Komunis Malaya) dan dibenarkan beliau tinggal di Malaysia. Berbagai-bagai pandangan,pendapat,cerca,fakta dan lain-lain lagi yang menyokong atau membangkang Chin Peng pulang ke Tanah Melayu (Malaysia). Dalam hal ini saya mempunyai pendapat saya sendiri. Ia sama sekali tidak bersangkutan dengan ideologi, pergaulan saya dengan bekas komunis mahupun fakta-fakta yang tidak mungkin kita lupakan.



JEPUN!Satu negara yang maju. Kita banyak bekerjasama dengan Jepun. Malah Dasar Pandang Ke Timur juga ada satu ketika dahulu. Kita menerima Jepun seadanya,memaafkan kezaliman masa lampau dan ada di antara mereka yang menjadi tulang belakang dalam sesetengah industri di Malaysia.



PKM BAGAIMANA PULA???Sedangkan orang yang tidak pernah menjadi rakyat Tanah Melayu juga kita dapat maafkan.Ini pula seorang bekas komunis yang boleh berbahasa Melayu dan telah menghabiskan usianya di negara jiran.



SAYA BERPENDAPAT bahawa kita terima Chin Peng (PKM) bersyarat. Antara syarat-syaratnya :

1- Membuat kenyataan terbuka bahawa tindakan yang beliau lakukan dulu adalah salah.

2- Berjanji tidak akan menghidupkan fahaman komunis di Malaysia lagi.

3- Bersedia untuk diambil tindakan jika larangan tersebut tidak dipatuhi.



Dengan cara ini kita dapat meleraikan kekusutan yang melanda kerana pada pendapat saya, bukan yang menghentam kerajaan itu menyokong komunis pun tetapi akibat daripada sentimen kebencian kepada kerajaan jadi ada saja tindakan kerajaan yang salah.

Kepada Rejimen Ke 10,diharap saluran yang betul digunakan bagi menyalurkan idea serta perjuangan yang rasional untuk rakyat.




KITA TIDAK AKAN LUPA KEPADA MEREKA YANG TELAH MEMBUNUH ANGGOTA POLIS KITA DI BUKIT KEPONG.MEMBAKAR BAYI YANG TIDAK BERDOSA DAN MEMBUNUH WANITA.



TIDAK LUPA JUGA KEPADA TINDAKAN KOMUNIS YANG MEMBUNUH ANGGOTA POLIS DI TANAH MELAYU DAHULU.JANGAN JADIKAN KEBENCIAN ANDA KEPADA KERAJAAN DENGAN MENYOKONG FAHAMAN KOMUNIS.



KITA BOLEH MEMAAFKAN…TETAPI KITA TIDAK LUPA!!!

Thursday, May 14, 2009

Terimalah doa ini Ya Allah

Ya Allah,

Engkau permudahkanlah pejuang kami,Zulhelmi (Mong) dalam keadaannya sekarang ya Allah,

Tempatkanlah roh adiknya dalam golongan orang-orang yang Soleh..

Pulihkanlah adiknya yang sedang koma dan berikanlah kesihatan kepada ibunya..

Ya Allah,

Beliau adalah salah seorang pejuangMu ya Allah...

Beliau berjuang atas namaMu yang hak...

Beliau berjuang untuk menegakkan Islam dan kebajikan para pelajar tak kira agama dan bangsa...

Kami mohon padaMu ya Allah.. permudahkanlah pergerakan Zulhelmi dan berikanlah rahmatmu kepada keluarganya Ya Allah...

Kami mohon...mohon dengan sangat....

Siapa Kita?

Kita diajar untuk berkasih sayang antara umat..mengikut batas-batas tertentu.

Kita diajar untuk mencintai Allah dan Rasul...

Kita diajar untuk menghormati orang tua kita...

Kita diajar untuk tolong menolong sesama manusia....

Kalau keluarga sendiri pun kita tak hormat..macam mana dengan 'keluarga' lain??

Kalau keluarga sendiri pun kita derhaka,tak payahla nak sibuk dengan 'keluarga' lagi satu tu

Kalau ayah atau bonda kandung pun tak pernah salam cium tangan.. tak payah la nak cium tangan 'ayah' yang lain....

Buah-buah yang busuk patut diletak sebelah..takut nanti buah yang elok habis berulat!!

Moga Allah tunjukkan kita kebenaran..moga kita semua kembali ke pangkal jalan..

Siapa kita di kalangan 'kita'

Kisah Di Pagi Hari Ibu

Kisah ini berlaku pada hari Ahad lepas iaitu 10 Mei bersamaan dengan Hari Ibu Sedunia.

Saya dan ibu saya pergi ke suatu kawasan dalam jajahan Kuala Lumpur untuk melawat sepupu kami yang sedang belajar di sana. Sampainya kami di sana, macam biasa bersarapan dahulu dengan sepupu saya dan pada waktu itu saya teringatkan saudara kami yang juga berada di sekitar kawasan tersebut.

Selesai makan saya drive terus hendak ke rumah saudara kami. Waktu tu mak saya pun call sebab nak pastikan diorang ada kt rumah. Kemudian mak saya suruh saya drive pergi ke gudang tempat saudara kami tu bekerja. Saya pun hairan gak, kenapa la waktu cuti pun pergi kerja..overtime ka..

So sampainya dekat gudang tu, nampakla kenderaan saudara kami tu.

"Sedikit mengenai saudara kami : Seorang warga emas OKU yang tiada sebelah tangan dan sebelah kaki,berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 20an. "


Jadi sampainya kami kat sana,mak saya pun tanyala pasaipa ada dekat gudang pejabat ni,buat overtime ka? Kemudian baru la kami dijemput naik ke pejabat gudang tu yang serba kekurangan untuk mendengar cerita selanjutnya.

Cerita dia begini….

Pagi tu waktu isteri saudara saya pulang membeli nasi lemak untuk anak lelaki dia di rumah, anak lelaki dia tu tengah tidur. Kemudian lepas dia letakkan nasi dekat atas meja, dia pun pergi la bersembang dengan jiran dia dekat sebelah.

(Diorang tinggal dekat rumah pangsa satu bilik). Kemudian tak sempat nak sembang apa-apa pun dengan jiran dia, anak lelaki dia keluar rumah dan bercekak pinggang sambil menengking ibu dia “Haa..tu takdak keja lain dok kutuk saya la tu!!!” punyala kuat dia tengking sampai jiran sebelah tu pun terkejut.

Mak dia (isteri saudara saya) pun bagitaula cerita sebenar.Tapi dia tak percaya gak. Dia punya marah tuduh mak dia jaja cerita-cerita dia kemudian dia ambil nasi lemak yang mak dia baru beli tu dia baling ke lantai.Habis bertaburan nasi lemak yang panas-panas mak dia baru beli untuk dia tu.

Untuk melegakan keadaan, mak dia tu pun ajak saudara saya yang OKU tu keluar rumah dan tinggal dekat gudang lusuh tempat saudara saya bekerja tu. Jadi macam tu la ceritanya pada pagi Hari Ibu yang lalu.

Petang tu sepupu saya ada belikan makanan untuk saudara saya dengan isteri dia. Tapi moralnya kat sini, siapa yang harus dipersalahkan?Saya pun tak tau la. Anak diorang ni anak tunggal. Moga kita sama-sama ambil iktibar.

p/s : sorry ayat tunggang langgang,takdak mood nak susun elok-elok.




Thursday, April 02, 2009

Selamat Tinggal


Entry kali ini tidak pedas menghentam beliau untuk dasar ‘buang yang keruh ambil yang jernih’( eh jernih ker? :P )



Hari Khamis, 2 April 209 adalah hari yang bersejarah bagi negara Malaysia dan Perdana Menteri Malaysia sepenggal, Agak ‘gentleman’ beliau bertindak sebegini walaupun memang terlambat dia atas segala kecelaruan yang berlaku di bawah pemerintahan beliau selepas Tun Mahathir melepaskan jawatannya dahulu.

Sejarah lama…..



Ketika di bangku sekolah rendah,penulis masih ingat bermain-main di rumah Jalan Bellamy. Tempat perkumpulan para pejuang yang bukan sahaja terdiri dari ahli-ahli UMNO malah beberapa pemimpin PAS juga ada pada ketika itu di dalam majlis tak rasmi. Banyak kali juga penulis berkunjung ke rumah itu jika pergi ke KL (waktu itu masih belajar di Kedah) .



Keadaan di rumah itu amat meriah dan ada ketika yang penulis terpaksa ‘lepak’ di luar rumah bersama pengawal keselamatan pemilik rumah tersebut kerana ada perbincangan mereka di dalam. Pemilik rumah tersebut juga melayan para tetamunya dengan baik sekali. Waktu itu semua kelihatan bersemangat.



Jika di Kepala Batas,rumah yang dihuni oleh arwah ibunya menjadi tempat penulis bertandang jika melalui kawasan itu. Pada ketika itu tidak ramai yang datang. Waktu rumah terbuka Aidilfitri pun tak ramai. Beberapa kerat sahaja yang datang. Namun berbagai perkara yang dibincang dan dilaksanakan oleh beliau.



Kemudian….

Hari demi hari, beliau tidak lagi menjadi orang biasa dalam kerajaan atau kabinet, tetapi menjadi seorang Perdana Menteri. Seorang yang diharap-harapkan membawa perubahan yang mendadak untuk negara Malaysia. Segala latar belakang dan usaha-usahanya sebelum ini menjadi satu tiket yang berharga untuk beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia….



Namun….



Panas yang disangka ke petang,rupanya hujan di tengah hari. Segala semangat dan perjuangan yang pernah beliau bawa satu ketika dahulu telah luntur. Kabinet yang dipegangnya goyah. Projek yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat diberhentikan. Kemesraan yang satu ketika beliau pernah beri kepada para pengikutnya sejak mereka itu masih lagi di universiti juga hambar. Tiada apa-apa yang dapat dibanggakan sebagai satu rangkaian ‘sahabat’ melainkan kisah-kisah lama mereka.



Ketika beliau dihina oleh anggota parti sendiri, mereka inilah yang tampil menahan segala tohmahan. Ketika pernah beliau di dalam kesusahan dahulu (sehinggakan ada pernah dibuat derma kilat) untuk membantu beliau dalam perjuangan.



Ada juga insan-insan yang datang ke Kuala Lumpur, terpaksa tidur di pejabat milik rakan-rakan dan bukannya dapat diberi bilik hotel atau tempat yang lebih selesa lagi. Insan-insan ini pernah berkorban masa dan wang ringgit untuk pemimpin ini. Namun di manakah erti mengenang budi?



Segala nasihat serta cadangan, kajian-kajian yang telah dibuat oleh ‘think-tank’ yang berdasarkan fakta ditolak dari diketengahkan. Seperti ada satu kuasa ghaib yang telah mengawal beliau. Menasihati serta mempengaruhi beliau dalam segala tindak tanduknya. Tiada lagi pemimpin yang berjiwa rakyat,malah semakin hari semakin ramai yang benci.



Pernah penulis bertanya kepada ‘sahabat2’ beliau mengapa masih bersama menyokong beliau walaupun banyan kerosakan yang telah terpampang. Jawab mereka “Jika kita ada seorang sahabat,dan sahabat ini pernah susah dengan kita dahulu dan tetap bersahabat sehingga menjadi PM, takkan kita nak tinggalkan dia. Walau degil,walau teruk macam mana sekalipun perangai dia,dia tetap sahabat kami. Cuma kami kecewa kerana perkara yang sepatutnya dibuat untuk rakyat tidak dibuat.Perkara yang beliau sendiri katakan dahulu tidak terlaksana. Kami kecewa yang itu,tapi tetap kami mengganggap dia sahabat kami. Macam anda juga kalau sahabat lama..kan? "



Penulis sendiri mengetahui beliau dahulu merupakan seorang yang tekad dan teguh dalam perancangan dan keputusan. Namun ‘kuasa ghaib’ ini terlalu kuat…dan kehancurannya telah terbukti. Penulis juga masih teringat peristiwa lucu apabila golongan ‘sahabat’ ini dalam proses menyiapkan upacara perkahwinan PM. Memang mereka ini kuat berahsia, penulis pun pelik apabila terdengar perbualan telefon mereka mengenai persiapan perkahwinan rahsia ini. Akhirnya apabila keluar televisyen barulah teringat balik apa yang mereka bincangkan dulu…



Akhirnya……



Akhirnya pada 2 April 2009 beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Betapa ruginya pengalaman dan sokongan yang tidak berbelah bahagi satu ketika dahulu sia-sia sahaja apabila sikap suka mempercayai ‘kuasa ghaib itu’.

Apa- apa pun penulis ingin mengucapkan syabas kerana bertindak bijak (pada kali ini) dan mungkin telah insaf atas apa yang beliau telah lakukan. Moga dunia baru selepas ini memberi satu hikmah kepada beliau.


Penulis doakan beliau agar bahagia bersama keluarga tersayang dan moga beliau menjadi seseorang yang penulis kenal dahulu,seseorang yang menasihati penulis agar belajar rajin-rajin,seseorang yang penulis senangi (sebab setiap kali pergi rumah ‘sure’ dapat RM10 waktu kecil-kecil dulu), seseorang yang mengikut teladan keturunannya….semoga menjadi PAK LAH yang kami kenali dahulu……..TERIMA KASIH DAN SELAMAT TINGGAL!



p/s : semoga ‘kuasa ghaib’ tidak akan menganggu gugat kestabilan politik Malaysia.